Masukan kali ini aku cedok dari blog sahabat aku, Al-Hafizaidi, bakal doktor gigi terbilang. Lirik Atas Nama Cinta oleh UNIC [dengar-dengar nak tukar nama kepada Unique]. Ulasan yang panjang, tetapi menarik untuk dibaca dan dipiQirkan. Sebab itu, aku bahagikan ulasan lirik ini kepada dua bahagian. Selamat membaca, bahagian pertama.
Atas Nama Cinta (UNIC)
Tika mata,
Diuji manisnya senyuman,
Terpamit rasa,
menyubur harapan.
Dan Seketika,
Terlontar ke dunia khayalan,
Hingga terlupa
Singkat perjalanan
Tersedar aku, dari terlena,
Dibuai lembut belaian cinta.
Rela aku pendamkan,
Impian yang tersimpan,
Enggan ku keasyikan,
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta,
Pada Dia yang lebih sempurna.
Bukan mudah,
Bernafas dalam jiwa hamba,
Dan ku cuba,
Menghindarkan pesona maya,
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murkaNya menghukum leka,
Di atas nama cinta,
pada yang Selayaknya,
Ku nafikan yang fana,
Moga dalam hitungan,
Setiap pengorbanan,
Agar disuluh cahaya redhaNya,
(Agar disuluh redhaNya).
Biar sendiri hingga hujung nyawa,
Asal tak sepi dari kasihNya,
Kerna sesungguhnya haikikat cinta,
Dia yang Esa.
Saratkan hati ini,
Dengan cinta hakiki,
Sehingga ku rasai
NikmatNya, SyurgaNya, RedhaNya
Lirik: Atie (Hijjaz Record Sdn Bhd)
Kata penulis lirik pembuka bicara:
Tika mata,
Diuji manisnya senyuman,
Terpamit rasa,
menyubur harapan.
Al-Faqir yang serba jahil ini menambah dengan izin Allah s.w.t.:-
Perkataan "tika mata" merujuk kepada, sejak daripada mata seseorang manusia melihat akan dunia ini. Oleh yang demikian, maksud zauqi (perasaan sufiyah) dalam perkataan "diuji manisnya senyuman" merujuk kepada segala bentuk keduniaan.
Dunia dan keindahan serta kelazatannya seolah-olah suatu "senyuman" yang menggoda hati manusia agar menghampirinya dan melupakan hakikat asal tujuan kewujudannya di dunia ini. Sejak mata boleh melihat akan keindahan dan kecantikan duniawi ini, hati sudah mula terpanggil untuk berkenalan dengan duniawi ini, di samping melupakan perjanjiannya dengan Tuhannya sewaktu di alam roh lagi, iaitu: "Alastu birobbikum, Qolu bala" (Allah s.w.t. bertanya: Adakah kamu (roh manusia) mengaku Akulah Tuhanmu). Maka, para roh menjawab: "Ya, kami mengakuinya") seperti yang dirakamkan di dalam Al-Qur'an.
Tapi, sejak mata melihat akan keduniaan, hati dan roh mula tertanya-tanya, tentang keduniaan yang dilihatnya. Hati semakin terkeliru, ketikat melihat, seolah-olah dunia dan isinya ini mampu berperanan dalam kehidupannya. Tampak dari sudut zahir, bahawasanya ada yang berkuasa dan berperanan selain dari Allah s.w.t., bagi hati yang tekeliru.
Sheikh Sa'id Hawa mengatakan: "Hijab pertama manusia dari Allah s.w.t. ialah, takkala si bayi sedang menangis mengadu kelaparan dan dahaga, lalu si ibu menyusukannya. Bisik hati si bayi itu, "oh, ada lagi yang boleh memberi rezeki dan mengenyangkan selain daripada Allah s.w.t?"
Kekeliruan inilah yang menjadi hijab pertama bagi seorang insan, dan terus-menerus membesar dengan bersandarkan kepada keduniaan, sehingga terlupa Tuhan kepada dunia dan segala isinya. Sejak kecil lagi, ketergantungannya sudah kepada makhluk, dek si roh tersanggut dalam jasad yang mana, mata menjadi peranan utama dalam memberi persepsi kepada manusia, yang akhirnya mengambil tempat "mata hati" (bashirah) dalam diri manusia.
Kerna itulah, dalam lirik tersebut ada menyebut: "tika mata", kerana dengan sebab matalah, seseorang semakin meninggalkan peranan mata hati, yang merupakan tempat bermu'amalah dengan Allah s.w.t..
Adapun mata jasad, merupakan antara pancaindera yang utama bagi jasad untuk berinteraksi dengan alam kebendaan duniawi ini, sedangkan mata hati, merupakan pancaindera yang paling utama bagi roh untuk berinteraksi dengan alam qudsiyah/ghaib dan berinteraksi dengan Allah s.w.t..
Kerana itulah, ada hadis mengatakan bahawa: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat bentuk tubuh kamu, tetapi melihat hatimu dan amalmu". Adapun dunia dan isinyalah yang melihat bentuk tubuh jasmanimu dan luaranmu. Maka, sesiapa yang mengutamakan bentuk tubuh dan jasad daripada kondisi hatinya, bererti dia telah mengutamakan pandangan dunia dan isinya kepadanya, berbanding pandangan Allah s.w.t. ke atasnya. Dari sinilah, seseorang tahu, siapakah yang diutamakannya, Allah atau isi dunia? Fafham (maka fahamilah).
Tika mata, terpegun dengan keduniaan, seperti kecantikan wanita (atau ketampanan jejaka bagi wanita), kemewahan harta, kemegahan takhta dan sebagainya, maka syahwat dan nafsu mula menyeru insan agar mengejar apa yang diingininya daripada kenikmatan-kenikmatan duniawi sehingga sampai mengabaikan kehambaan kepada Ilahi.
Kecantikan duniawi ini sebenarnya suatu ujian, bagi mata, untuk mata hati. Allah s.w.t. berfirman: "Sesungguhnya, diperhiaskan kepada manusia itu, akan cinta syahwat (keduniaan) dari kalangan perempuan-perempuan (iaitu: lawan jenis), anak pinak, harta benda..."
Allah s.w.t. sendiri menggunakan istilah: "diperhiaskan", dengan membawa maksud, perkara-perkara yang diingini dan dicintai oleh syahwat sebenarnya bukanlah suatu perkara yang cantik, tetapi diperhiaskan agar kelihatan cantik di kaca mata jasmani, walhal, mata hati mengetahui akan kejelekannya.
Diperhiaskan akan duniawi ini tidak lain melainkan untuk menguji para hambaNya, siapakah yang jujur denganNya dan siapa pula yang berdusta terhadapNya, dalam perjanjian "alastu birobbikum" tersebut. Allah s.w.t. pada hakikatnya sudah mengetahui, siapakah dari kalangan roh yang menipu dalam perjanjian tersebut, dan siapa pula yang jujur. Tetapi, sengaja Allah s.w.t. meletakkan manusia ke alam duniawi terlebih dahulu, sebelum melayan para hambaNya dengan nikmat syurga, untuk menjadikan hujah ke atas manusia sendiri, supaya manusia sendiri akan membuktikan kepada dirinya sendiri, bahawa samada dia jujur dalam perjanjiannya ataupun berdusta dalam perjanjiannya terhadapNya. Jadi, dunia inilah tempat ujian.
Kerana itulah, lirik mengatakan bahawa: "tika mata, diuji manisnya senyuman...".
Keindahan dan kemanisan senyuman merupakan suatu kiasan kepada perhiasan duniawi yang dihias untuk menguji, siapakah dari kalangan para hambaNya yang jujur terhadapNya, dan siapa pula yang mendustaiNya? Bagi mereka yang jujur terhadapNya, sudah pasti setelah diberi seorang rasul ataupun setelah sampai ajaran para Rasul, bahawa Tuhan mereka ialah Allah, bukan duniawi, mereka segera menyahut panggilan itu dengan kembali kepada Allah s.w.t., bahkan, sanggup mengorbankan duniawi demi Ilahi.
Inilah yang berlaku kepada para sahabat dan para solihin, di mana, setelah mereka diajarkan agama, dan diajarkan tentang siapa Tuhan yang sebenarnya, dan siapa diri yang sebenarnya, maka mereka terus mengadapkan diri kepada Allah s.w.t. bahkan, sanggup mengorbankan keinginan syahwat nafsu demi Ilahi.
Adapun mereka yang pendusta dan pengkhianat, maka setelah diberitahu bahawa mereka adalah hamba Allah s.w.t. dan Allah s.w.t. ialah Tuhan mereka sekalipun, mereka tetap terus menjadikan duniawi sebagai kecintaan dalam diri mereka, sehingga mengabaikan Allah s.w.t. dan hak-hakNya. Inilah satu pengkhianatan yang paling besar yang mana, akan mengundang malapetaka yang paling parah (na'uzubillah min zalik).
Ramai daripada mereka yang terhijab daripada musyahadah Allah s.w.t. dengan hijab makhluk, tidak terhijab dengan makhluk melainkan kerana terpedaya dengan kecantikan palsu makhluk, sehingga melupakan kecantikan abadi Al-Khaliq.
Keindahan duniawi ini bisa memukau sesiapa sahaja yang terpandang akan senyumannya, lantas, terpamit rasa di dalam hati, untuk mengharapkan keduniaan, lebih daripada mengharapkan Tuhan. Harapan mereka, keinginan mereka, hala tuju mereka, bahkan matlamat mereka adalah dunia dan kebendaan. Jadilah mereka sebagai hamba-hamba kepada kebendaan seperti sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Celakalah ke atas hamba Dinar. Celakalah ke atas hamba Dirham...".
Dalam lirik ini menceritakan tentang perihal seorang hamba yang terpegun dengan keindahan duniawi, lalu terbit rasa dalam diri untuk mengejar keduniaan demi memenuhi tuntutan syahwat.
Seterusnya luah si hamba itu:
Dan Seketika,
Terlontar ke dunia khayalan,
Hingga terlupa
Singkat perjalanan
Lirik ini menceritakan bahawa, si hamba tersebut mula tertawan dengan keduniaan, bahkan mula hanyut dalam kealpaan cinta duniawi yang mempersonakan. Dia seolah-olah tidak sedar yang mana realiti, dan yang mana mimpi. Keduniaan yang dikejarnya, seolah-olah bakal kekal bersama dengannya, padahal, ia tidak ubah laksana mimpi dan khayalan.
Kata para salafus soleh: "Hidup di dunia ini, laksana mimpi. Bila seseorang mati, barulah ia terjaga".
Maksudnya, ramai orang yang terpesona dengan keindahan dunia yang walaupun padahal, mereka tidak pernah dijanjikan untuk hidup kekal di dunia, untuk membuatkan mereka terkejar-kejar dengan keduniaan sehingga melupakan tugasnya dalam kehambaan. Siang dan malam mereka, diabdikan untuk cinta duniawi, demi kenikmatan duniawi dan kerana duniawi. Segala yang dilakukannya, kiblatnya ialah dunia dan isinya. Terkadang, dia melaksanakan tuntutan agama sekalipun untuk menambat perhatian makhluk dan keduniaan, bukan untuk mendambat redha Tuhan. Kiblatnya bukan lagi kepada Tuhan, tetapi kepada kebendaan.
Golongan manusia yang terleka dengan keduniaan ini, melanggar adab kehambaan, dan mengabaikan hak-hak ketuhanan, demi meraih cinta keduniaan, padahal dunia dan segala isinya tidak pernah menagih darinya sebarang pengorbanan. Bahkan, setelah sekian lama mereka berkorban untuk keduniaan, dunia dan isinya tidak pernah mengucapkan barang sepatah penghargaan. Bahkan, bila tibanya waktu ajal perpisahan, segala dunia dan isinyalah yang bakal ditinggalkan. Mereka tidak sedar hakikat itu, walaupun mereka sedar ia bakal berlaku.
Dunia ini, makin banyak kita kumpul, makin banyak yang akan kita tinggalkan. Itulah hakikat kehidupan yang serba singkat ini.
Hanya, dengan mengingati matilah, seseorang manusia mampu kembali ke pangkuan Ilahi, dan kembali berjalan mencari redha Ilahi, daripada terus terleka dengan paslu duniawi. Kerana itulah, Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan bahawa: "Sentiasalah kamu mengingati mati!" Ingat mati akan mengingatkan kita tentang, hakikat diri sebagai hamba, hakikat kehidupan yang sementara dan hakikat Allah s.w.t. sebagai Sang Maha Pencipta.
Oleh yang demikianlah, penulis lirik menggambarkan bahawa, hamba yang terpukau dan terleka dengan dunia ini, kerana terlupa akan "singkat perjalanan", iaitu perjalanan hidup ini. Benarlah bahawasanya, hidup ini ibarat perjalanan. Seorang manusia yang hidup di dunia ini, ibarat musafir yang berjalan. Ia singgah sementara di bawah pohon untuk berteduh. Setelah dia puas berehat, dia akan bangun semula dan teruskan perjalanan. Begitulah kiasan dari Rasul Junjungan s.a.w..
Setelah itu, hamba itu berkata:
Tersedar aku, dari terlena,
Dibuai lembut belaian cinta.
Ini menceritakan perihal hamba tersebut, yang setelah sekian lama leka dengan duniawi, lantaran itu, dijemput oleh Allah s.w.t., dengan ilham keinsafan, agar hamba tersebut kembali ke pangkal jalan, dengan menghalakan perjalanan, kepada menuju Tuhan. Ini merupakan suatu anugerah. Inilah yang dikenali dengan hidayah. Hidayah ialah anugerah. Hidayah ialah hadiah. Hadiah dari yang Maha Pemurah.
Dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.-lah, Dia memberikan ilham agar hambaNya kembali kepadaNya, dengan menempuh jalan menujuNya. U-turn dalam perjalanan hidup, menuju semula kepadaNya, bermula dengan ilham keinsafan. Maqam perjalanan ini dipanggil sebagai: "yaqazah" atau terjaga dari tidur kelalaian. Inilah satu muqoddimah dalam kehidupan seseorang salik menuju Allah s.w.t..
Bererti, dia telahpun terjaga dari lena (kelekaan duniawi), sebelum terjaga secara paksa (iaitu mati). Inilah yang dikenali dengan suruhan; "Matilah sebelum kemu mati". Maknanya, sedarlah diri dari tidur kelalaian duniawi, secara sukarela, sebelum kamu sedar dari kelalaian duniawi ini secara terpaksa (dengan kematian). Ini kerana, sedar secara paksa, boleh memperbaiki keadaan, adapun sedar secara paksa (mati), maka sesalan sudah lagi tiada berguna, apatah lagi untuk memperbaiki apa yng telahh luput daripada tanggungjawabnya sebagai hamba.
Hanyalah dengan hidayah Allah s.w.t.-lah, seseorang akan terpanggil untuk kembali kepadaNya setelah sekian lama bergelumang dengan dosa kelalaian. Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada kita, amin...
Hidayah inilah yang disebut dalam lirik sebagai: "dibuai lembut belaian cinta". Hidaya merupakan simbol cinta Allah s.w.t. kepada seseorang hamba. Seseorang hamba yang diberi hidayah kepadanya, bererti dikasihi oleh Allah s.w.t.. Tanda Allah s.w.t. mengasihi seseorang hambaNya ialah, dengan memberi hidayah kepada hambaNya. Dari situlah, seseorang yang mensyukuri akan hidayah dan ilham keinsafan ini, akan sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. atas nikmat tersebut, dan sentiasa melatakkan di hati, bahawa hidayah itu dari kasih Allah s.w.t. kepadanya. Kasih sayangNya daripada kelembutanNya (al-lutf). Kerana itulah, hidayah tersebut seolah-olah "lembut belaian" cintaNya. Bahkan, cintaNya itu merupakan lembut belaian kelembutanNya. Benarlah Allah yang Maha Al-Lutf.
Seterusnya, dia berkata:
Rela aku pendamkan,
impian yang tersimpan,
enggan ku keasyikan.
Hal ini merujukkan tentang himmah (semangat) si hamba tersebut untuk berjalan menuju Ilahi s.w.t., shingga sanggup melawan ajakan nafsu yang sentiasa menyerunya ke arah keduniaan, seperti perempuan, harta dan sebagainya. Dia sanggup pendamkan, impian yang tersimpan. Pendamkan tersebut merujuk kepada, betapa susahnya untuk melawan hawa nafsu. Ini kerana, memendamkan tidak sama dengan menghilangkan. Si hamba tersebut mengaku di hadapan Ilahi, bahawa nafsunya akan sentiasa membuak-buak untuk kembali kepada duniawi, sepanjang perjalanan menuju Ilahi. Walaupun sebuak mana nafsu menyeru, si hamba tersebut berjanji di hadapan Ilahi, untuk berjuang melawan hawa nafsu yang tersimpan, demi mengutamakan apa yang dikehendaki oleh Tuhan, daripada suruhan dan larangan.
Kerana itulah, dia berkata: "rela aku pendamkan, impian yang tersimpan". Impian yang dimaksudkan dalam zauqi ialah, syahwat dan nafsu yang mengajak kepada kejahatan dan pengkhianatan. Dinamakan impian kerana, ianya seolah-olah suatu keinginan yang baik, menurut ukuran diri dan nafsu, tetapi padahal, ia merupakan ammarah bis'suk (mengajak kepada kejahatan). Nafsu ini selalu menipu manusia, kononnya mengajak kepada kebaikan, padahal di sebaliknya ada pengkhianatan kepada Tuhan.
Kerana apa si hamba tersebut sanggup melawan hawa nafsu dalam mengejar keduniaan? hal ini terjawab dengan katanya: "enggan ku keasyikan". Maksudnya, si hamba yang sudahpun mendapat hidayah keinsafan, berjanji di hadapan Tuhan, untuk tidak lagi kembali kepada kelalaian dan keasyikan dunia yang mempesona dalam penipuan. Si hamba itu berkata lagi:
Gusar keindahannya,
Merampas rasa cinta,
Pada Dia yang lebih Sempurna.
Si hamba takut untuk kembali kepada dunia dan isinya, kerana khuatir keindahan dan kecantikan duniawi, mampu menggodanya kepada cinta duniawi, seterusnya, mengkhianati cinta Ilahi. Ini kerana, perumpaan Allah s.w.t. dengan duniawi, seumpama timur dan barat. Semakin mendekati barat, semakin menjauhi timur. Jadi, sang hamba ini takut dengan pesona dunia, kerana dia ingin menjadikan cintanya hanya untukNya, yang merupakan Tuhan yang Maha Sempurna, lebih sempurna daripada dunia, yang padahal serba cacat cela.
Dia bukan sahaja lebih sempurna, bahkan Maha Sempurna, sedangkan dunia pula bukanlah kurang sempurna, tetapi Maha Cacat Cela. Cuma, ia dihiasi sebagai ujian. Sesiapa yang jujur, pasti akan kembali kepada yang Maha Sempurna. Sesiapa yang tidak jujur, yang cacat cela pun jadi buatnya.
Namun, cakap memanglah mudah, kerana tidak bertulang. Kalau bab janji menjanji, lidahlah yang nombor satu. Tapi, dapatkah seseorang itu merealisasikan janjinya, dengan anggotanya yang sarat bertulang?
psst: Bersambung...
dah lama tak dengar nasyid nie.. used to be one of my favourite.
BalasPadamunik cara nasyid nie dikupas. saya tunggu sambungannya.
may Allah bless
Humayra': yeke... smoge m'jd panduan b'same..kredit kpd my shbt, Al-Hafizaidi
BalasPadamunic antra kumpulan nasyig yg aku mnt..termasuklah hijjaz..lagu doarng besh..ad pngajaran dseblik lagu tersebut...
BalasPadamazizan4444: ng dah tukar name unique. Hijjaz pon leh thn nasyid die. ak minat Raihan n Mirwana...
BalasPadamkbykn lagu nasyid ni b'btk p'ingtn, dakwah n ingatkan Allah.. akhir2 ni je byk sgt cinta2n...
sedap dgar nasyid nie..dan kupasannya jadi macam nak nagis thank krna mmberi kinsafan
BalasPadamAnony: skadar brkongsi info..dpt dr blog kwn... smoge kte same2 dpt keinsafan n m'jd lebik baik...
BalasPadamsyukran...kupasan yg diberikan sgt menarik dan dapt membuka mata dan hati yang membacanya..=) insyaAllah..minta share ye...=)
BalasPadamtanpa nama: afwan. ini pon minx share dr kwn. sebar2kan ye..
BalasPadam