Lirik Atas Nama Cinta - UNIC Bhg. 2

Sambungan dari bahagian pertama

Kerna itulah, hamba tersebut meluahkan:

Bukan mudah,
Bernafas dalam jiwa hamba.


Sememangnya tidak mudah, untuk melakukan apa yang telah dijanjikan. Ini kerana, selagimana yang dikatakan hamba itu, selagi itulah, akan sentiasa diuji, bagi mengukur kejujurannya. Jadi, si hamba ini, dengan penuh rendah diri, mengakui, bukan mudah untuk menjadi hamba yang sejati. Kalau setakat janji, semua orang pun boleh berjanji. Tetapi, untuk merealisasikannya, amat sukar sekali. Jadi, sang hamba melafazkan santunan ayat ini, demi mengakui kelemahan diriNya di hadapan Allah s.w.t. di samping mengharapkan belas kasihan daripada Allah s.w.t., untuk membantunya di sepanjang perjalanan menujuNya. Sememangnya, sebagai seorang hamba, memanglah tidak mudah. Ini kerana, kehambaan itu berkaitan dengan khidmat. Khidmat itu tidak mudah. Kalau nak berehat-rehat, maka itulah bos namanya, bukan hamba. Namun, hamba yang sejati, akan berkhidmat dengan penuh kerehatan kerana tahu kepada siapa dia berkhidmat.

Namun, sang hamba tahu, setiap adab itu, tidak boleh menyebabkan lenyapnya tanggungjawab sebagai seorang hamba.

Dan ku cuba,
Menghindarkan pesona maya,


Sang hamba turut berjanji, demi mempertahankan cintanya kepada Ilahi, dia akan cuba melawan hawa nafsu dan melawan godaan duniawi yang menipu. Janjinya, untuk mencuba itu, menunjukkan dia sudah mula merealisasikan kehambaannya kepadaNya, kerana, seseorang yang berkata: "saya cuba", bererti, tidak menunjukkan sifat merasakan diri boleh melakukannya, tetapi tetap mahu melakukannya, demi sesuatu, atau untuk membuktikan sesuatu.

Jadi, apabila dia mengatakan bahawa: "dan ku cuba", bererti, wahai Allah, memanglah aku ini hambaMu yang lemah. Namun, keranaMu, akan ku hadapi ujian ini dan membuktikan kehambaanku kepadaMu dengan bantuanMu. Itulah rahsia daripada perkataan: "aku cuba", dalam zauq kesufian.


Seterusnya, sang hamba yang budiman tadi berkata lagi, tentang sebab mengapa dia cuba menjauhi pesona maya:

Kerna tuk upaya,
ku hadapinya,
Andai murkaNya menghukum leka.


Si hamba tersebut cuba menjauhi pesona dunia, dengan tidak mengindahkan senyuman duniawi, kerana takut akan kemurkaan Allah s.w.t. terhadapnya, takkala dengan dunia tersebut, dia leka kembali daripada mengingati Allah s.w.t. dan mencintaiNya. Dia tahu, pesona dunia ini sentiasa menipu, lantaran menarik hati hambaNya daripadaNya. Jadi, dia berusaha untuk menjauhi hatinya dari dunia, agar dapat mendekati Allah s.w.t. yang paling dicintaiNya.

Dia juga takutkan murka Allah s.w.t., kerana, bagi sang kekasih, murka yang dikasihinya adalah yang paling ditakutinya. Ini kerana, jika cinta dibalas murka, bererti tiadalah nilai cintanya, laksana cinta tak berbalas, apatah lagi cinta berbalas murka. Dia cuba membuktikan cintanya dengan izinNya, dengan menjauhi kepalsuan duniawi, untuk meraih cintaNya, dan agar dihindari dari murkaNya. Bahkan, hamba yang sejati, jika mencintai Tuhannya, maka cintaNya lebih diharapkan daripada nikmat syurga. Begitu juga, murkaNya lebih ditakuti dari azabNya.

Kerana itulah, dalam lirik tersebut, menggunakan istilah: "andai murkaNya menghukum leka", bukan azabNya menghukum leka. Ini kerana, seseorang hamba yang tulus dalam mencintai Tuhannya, yang paling ditakutinya bukanlah azab neraka, tetapi murkaNya. Di sinilah tersematnya rahsia doa Saidatina Rabiatul Adawiyah yang masyhur tersebut. Hanya yang merasainya sahaja yang memahaminya, kerana cinta itu bukan di atas lampiran nota, atau bahasa bicara, tetapi cinta itu apa yang dirasa. Dan, hanya yang merasainya sahaja yang mengerti tentangnya.

Maka, si hamba tersebut lantas berkata:

Di atas nama cinta,
pada yang Selayaknya,
ku nafikan yang fana,


Dalam lirik ini, ada beberapa makna yang tersembunyi. Antaranya ialah, matlamatnya dalam usaha untuk meninggalkan cinta duniawi, hanyalah semata-mata kerana cinta, cinta kepada yang Selayaknya, iaitulah, Allah yang Maha Pencinta. Perkataan: "yang Selayaknya" merujuk kepada Allah s.w.t.. Adapun maksud: "Selayaknya" tersebut, ada dua makna yang perlu di halusi.

Jika yang dimaksudkan oleh penulis lirik, bahawa, hamba tersebut merasakan bahawa, hanyalah yang layak memiliki cintanya ialah Allah s.w.t., bererti, dia merasakan bahawa, Allah s.w.t.-lah yang layak dicintaiNya. Sememangnya benar, jika dilihat dari sudut kelayakan, Allah s.w.t. Maha Layak dalam Kesempurnaan. Begitu juga, segala pujian selayaknya hanya untuk Allah s.w.t.. Begitu juga, segala cinta, hanya selayaknya bagi Allah s.w.t. Ini merupakan suatu sudut RUBUBIYYAH, di mana Allah s.w.t. layak dengan segala kebaikan, keindahan dan kesempurnaan.

Namun, dari sudut kehambaan pula, seseorang yang memahami hakikat diri yang serba hina, dan memahami pula hakikat Allah s.w.t. yang Maha Mulia, sudah tentu merasakan bahawa, dirinya tidak layak untuk mencintaiNya kerana keagunganNya. Inilah adab dalam cinta itu sendiri.

Seseorang hamba yang tahu hakikat kehinaan diri, pasti merasakan diri ini tidak layak untuk mencintai Allah s.w.t., bahkan tidak layak pula untuk dicintaiNya. Namun, setelah Allah s.w.t. memperkenalkan diriNya, bahawa Dialah yang Maha Pencinta, maka fahamlah hamba yang hina tersebut, bahawa, Allah s.w.t. mencintai kita, bukan kerana kita layak untuk dicintaiNya, tetapi kerana DIALAH yang MAHA PENCINTA.

Setelah itu, hamba tersebut berkata:

Moga dalam hitungan,
Setiap pengorbanan,
Agar disuluh cahaya RedhaNya.


Setelah merintih, dengan penuh adab, hamba tersebut berdoa agar Allah s.w.t. menerima setiap pengorbanannya dalam merealisasikan ketaatannya sebagai seorang hamba, jesteru meredhai segala pengorbanannya, yang dilakukannya, atas nama cinta kepadaNya. Sememangnya, pengorbanan seseorang hamba tidak layak untuk meraih redha Allah s.w.t. yang Maha Tinggi, namun kerana sifat Pemurah Allah s.w.t.-lah, Allah s.w.t. meredhai para hambaNya yang berkorban atas nama cinta kepadaNya. Demikianlah yang dimaksudkan dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Seseorang tidak akan masuk syurga kerana amalannya." Sahabat bertanya: "Walaupun engkau ya Rasulullah?" Rasulullah S.A.W. menjawab: "Ya. Termasuklah saya. Cuma, (saya dapat masuk syurga) kerana rahmat dan kemurahan Allah S.W.T.."

Nah, kalaulah amal seseorang tidak dapat membayar harga syurga Allah s.w.t., mana mungkin mampu membayar harga redha Allah s.w.t. yang jauh lebih mahal berbanding syurgaNya.

Seterusnya, sang hamba yang berdoa tersebut sekali lagi merintih untuk mendapat simpati:

Biar sendiri hingga hujung nyawa,
Asal tak sepi dari kasihNya,


Lirik ini mengandungi zauq kesufian yang tinggi. Ini kerana, setelah mengetahui hakikat kepalsuan duniawi, dan hakikat keabadian dan keagungan cinta Ilahi, maka sang hamba tersebut sanggup membuat pilihan, sekiranya Allah s.w.t. berfirman kepadanya:

"Aku beri kepadamu dua pilihan. Satu sahaja yang boleh kamu pilih. Aku atau dunia. Kalau kau pilih Aku, kau akan kehilangan dunia dan kenikmatannya. Kalau kau pilih dunia dan kenikmatannya, maka kau akan kehilanganKu."

Takkala diminta supaya membuat pilihan, satu sahaja daripada dua pilihan yang ada. Maka, jawab hamba tersebut: Biar sendiri hingga hujung nyawa, Asal tak sepi dari kasihNya" Maknanya, tak mengapalah kalau seluruh isi dunia lari dariku, kerana aku mempertahankan kasihMu, asalkan aku sentiasa dalam kasihMu, sudah cukup buatku untuk mengisi kesepian daripada makhluk". Inilah maqam kejujuran terhadap Allah s.w.t., yang mana, setiap orang perlu bertanyakan pada diri mereka sendiri, adakah aku mampu menjawab: "Allah", jika diberi pilihan sebegini. Fafham (maka fahamilah).

Sang hamba tersebut yang merasai makna ini lalu berkata:

Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa.


Di dalam lirik ini, mengandungi hakikat terbesar bagi kewujudan alam ini. Namun, bukanlah di sini tempat perbahasannya. Ini kerana para ahlul khawas membincangkan tentang makna zauq sufi daripada lirik ini secara khusus, bukan pada umum, menurut para sufi. Cuma, dari segi yang mudah difahami, hakikat cinta yang wujud dalam dunia ini, semuanya daripada Allah s.w.t., dan hanya Dialah yang layak dicintai dengan cinta yang diberikan. Cinta daripadaNya kepadaNya, denganNya, untukNya dan keranaNya. Oleh yang demikian, para arif billah pernah berkata: "Alam ini wujud atas nama cinta", sesuai dengan tajuk lagu ini. Namun, alam ini wujud atas nama cinta Ilahi kepada makhluk ini sendiri.

Bahkan, para arif Billah yang merasai tauhid al-mahabbah, amat memahami makna "hakikat cinta: hanya Dia yang Esa", dengan makna yang lebih mendalam. Dalam lirik ini, tidak mengatakan: "hakikat cinta: hanya kepadaNya yang Esa", atau "hakikat cinta: hanya cintaNya". Tetapi, dalam lirik menyebut: "hakikat cinta" DIA YANG ESA" Di sini bermaksud: "ALLAH ialah HAKIKAT CINTA". Hal ini difahami oleh ahlu zauq dan semoga Allah s.w.t. memahamkan kita, amin.

Setelah itu, hamba tersebut menutup dengan satu doa atau satu nasihat:

Saratkan hati ini,
dengan cinta hakiki,
Sehingga ku rasai,
NikmatNya, SyurgaNya, RedhaNya


Dalam lirik terakhir ini, digunakan perkataan: "saratkan..." yang membawa makna suruhan (amr). Namun, dapat difahami daripada lirik ini dengan dua makna. Samada ia merupakan suatu doa (yang menggunakan ayat suruhan, tetapi bermakna doa) ataupun suatu saranan kepada diri sendiri dan kepada orang lain yang membaca lirik ini.

Kalau saranan bererti, si penulis lirik menasihatkan dirinya dan para pembaca, agar meletakkan hanya Allah s.w.t. di dalam hati mereka.

Namun, jika makna doa, (yang merupakan makna yang lebih tepat menurut siyaq/petunjuk ayat) bererti, dia memohon kepada Allah s.w.t., agar memenuhi hatinya dengan cinta hakiki, iaitu cinta kepadaNya semata-mata. Maksud perkataan cinta hakiki boleh difahami dengan dua makna, berlainan maqam. Samada, memahami "cinta hakiki" sebagai cinta kepada Ilahi s.w.t, ini meurpakan maqam permulaan dan pertengahan bagi para pencinta Ilahi. Ataupun, memahami makna cinta hakiki dengan makna "ALLAH" bererti, dia berdoa kepada Allah s.w.t., agar Allah s.w.t. memenuhkan hatinya denganNya. Terdapat perbezaan yang amat halus antara hati yang sarat dengan cinta Ilahi dan hati yang sarat dengan Allah itu sendiri, dan hanya yang merasainya, akan memahaminya (semoga Allah s.w.t. memahamkan kita, amin).

Ini kerana, dengan cinta hakiki tersebutlah, seseorang hamba dapat merasai nikmatNya, SyurgaNya dan RedhaNya yang merupakan keinginan dan kelazatan yang paling tinggi. Semoga Allah s.w.t. mengajarkan kita erti cinta hakiki, agar kita mampu mencintaiNya dengan cinta hakiki di samping menjadikanNya sebagai cinta hakiki kita, dengan bantuan dan cintaNya, Amin.. Wallahu a'lam..

Muat Turun: UNIC - Atas Nama Cinta.mp3