Jaga solat, selalu muhasabah diri

Oleh: Ust Zainuddin Hasim


Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

• Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya).

• Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.

• Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

• Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.

• Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan sebagainya.

• Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin