Islam idea humor?

Islam itu bersifat syumul. Islam itu cara hidup. Bukan semata-mata ibadah.

Benar dan tiada siapa dapat menafikan penyataan diatas tapi sejauh mana pelaksanaan sehingga kebenaran itu kelihatan realitinya?

Karikatur Nabi S.A.W. oleh Kurt Westergaard yang juga diterbitkan akhbar-akhbar tempatan berbahasa Inggeris, kemudian nama Muhammad diberikan kepada seekor anjing di bahagian Afrika [jika tidak silap], tidak hanya habis di situ, filem pendek, Fitna hasil fikiran Geert Wilders, terkemudian video lukisan penghinaan terhadap baginda Rasullullah yang tersebar di Youtube oleh aktivis Finland, Seppo Lehto. Dan banyak lagi penghinaan demi penghinaan ditaburkan oleh pihak anti Islam, yang mencari peluang dan ruang di tengah-tengah kekalutan dan pertelingkahan sesama Islam yang masih kabur dalam menuju titik persamaan. Tapi jangan salah faham ini dengan perselisihan pendapat ulama’ atau pemikir Islam, ini 2 perkara yang berbeza.

Padahal namanya Islam, belajarnya Islam tapi dek kerana dalam memahaminya berlainan, ditambah dengan menafsirkannya lebih akal dari naqli disedapkan lagi dengan nafsu yang merendah-rendahkan sumber rujukan yang pasti. Sehinggakan jika satu pihak sudah jumpa titik itu, ada pihak yang lain masih teraba-raba kerana tidak mahu meninggalkan nikmat syurga dunia. Masih ada wahan yang tak terubati. Maka, terciptalah buih-buih lautan yang dikerumuni dari setiap penjuru.


Gaya Geert Wilders memang layak dipadankan dengan watak jahat seperti dalam Incredibles

Tidak serik dengan bantahan umat Islam sedunia menentang Fitna, Wilders yang juga ahli parlimen Belanda [dari Partij voor de Vrijheid (PVV)] sekali lagi menujukkan sikap anti Islamnya dengan membawa usul di parlimen, bahawa wanita bertudung di Belanda patut dikenakan cukai sebanyak 1000 euro [RM5100] setahun! Dipetik dari Eramuslim.com, 24 Sept 2009. Cukai yang digelar ‘koproddentax’ adalah patut menurutnya dengan alasan:
i. Tudung bukan budaya Belanda!
ii. Satu simbol penindasan?
iii. Merosak pemandangan masyarakat? [dari celah mana dia dapat alasan ini?]

Islamphobia beliau semakin jelas apabila beliau menambah ianya hanya tertakluk khusus untuk penganut Islam, tidak pada penganut Kristian dan Katolik yang antaranya masih mengenakan tudung. Apabila usulnya dipersoalkan, Wilders menambah untuk menakut-nakutkan wanita Islam! Hujah balas oleh Femke Halsema dari parti Groenlinks mengatakan cadangan usul Geert Wilders itu satu anti-kebebasan dan satu penindasan. Oleh kerana masih wujud kewarasan di kalangan ahli-ahli parlimen lain berbanding Wilders dan yang seangkatan dengannya, maka usul tersebut ditolak.

Apa yang aku dapat, dan korang juga mungkin mungkin sama pendapat dengan aku. Hujah penentang kebenaran lemah dan tidak terperinci. Namun kebenaran akan tumpul, jika kita tak ada persediaan rapi.

Kebencian terang-terangan Wilders, kerana kejahilan dia juga mungkin berdasarkan kajian yang dia buat. Pandang dari sisi kita, usaha dakwah kita setakat mana? Adakah lebih mengata dan mencaci dari menyampaikan? Tapi jangan terlepas pandang, musuh dalam selimut! Lebih bahaya sebab gajah depan mata tak nampak.

Sensitifkah kita? Apabila isu-isu begini mejentik telinga kita. Mungkin ‘reseptor’ sensitif dah kurang berfungsi. Cepat-cepatlah cari ‘ubat’, sebelum ‘reseptor’ tu hilang. Aku petik kata-kata seorang pemimpin muda, saudara Izzat Anwari Hasni dari Persatuan Ulama’ Cawangan P Pinang [PUMPP] untuk renungan bersama “… kita tidak sedar bahawa Islam sudah bertukar wajah menjadi ikon paling lemah di mata masyarakat.”

pssst: Sewajibnya kita bersyukur, di Malaysia tiada halangan bertudung apatah lagi tiada satu cukai dikenakan. Tidakkah kita rasa bertuah, dibandingkan mereka di luar sana dikenakan halangan dan kekangan hanya kerana sehelai jilbab di kepala mereka seperti pernah terjadi di Turki beberapa tahun sebelum ini. Sanggupkah korang dibuang sekolah, universiti malah kerja sekali pun untuk mempertahankan sesuatu yang tidak ternilai? Janganlah kau anggap ia tidak lebih dari fesyen semata.

Ulasan