Syahidah Marwa Pahlawan Jilbab

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Sedih, bukan kerana kematian Michael Jackson [MJ] a.k.a. Mikhaeel [masih diragui???] yang dipuja berjuta-jutaan orang di dunia. Tapi sedih, kerana pada saat yang sama, berlangsung pengebumian seorang muslimah yang syahidah [Insya'Allah] kerana mempertahankan jilbabnya [atau tudungnya]. Marwa Al-Sharbini, ibu kepada seorang anak dan sedang mengandung 3 bulan, syahid akibat ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman berketurunan Rusia yang anti-Islam dan anti-Muslim. Tapi berita ini tidak disiarkan di berita perdana di televisyen tanah air kita juga negara seberang, negara yang majaroti penduduknya orang Islam, bahkan mungkin, tidak banyak dari kita yang tahu akan peristiwa yang menimpa Marwa Al-Sharbini ini.

Ribuan orang di Mesir yang menghantar jenazah Marwa Al-Sharbini ke tempat istirehatnya yang terakhir, di kala kebanyakan orang yang menangisi pemergian MJ. Marwa hanya seorang ibu dan bukanlah bintang ternama. Tapi perginya Marwa Al-Sharbini adalah lambang jihad seorang Islam. Marwa Al- Sharbini mempertahankan harga dirinya sebagai seorang Muslimah yang mematuhi ajaran agamanya meski pun kehilangan nyawanya.

Marwa Al-Sharbini ditikam di dalam mahkamah di kota Dresden , Jerman ketika memberikan keterangan atas ancaman terhadapnya kerana Alex W, pemuda Jerman itu kerap menggelarnya “teroris” atau pengganas hanya kerana dia memakai jilbab!. Kerana ingin menyelamatkan isterinya, dari tikaman yang betubi-tubi suami Marwa telah terkena tembakan pihak berkuasa keamanan pengadilan dengan berdalih tertembak suami Marwa dengan tidak sengaja.



Peristiwa ini sepi dari media massa Jerman dan mungkin juga media massa asing kerana yang menjadi korban adalah seorang muslimah yang dibunuh oleh orang Barat yang anti-Islam. Situasinya mungkin akan berbeza jika yang menjadi korban adalah orang Barat yang dibunuh oleh seorang [yang kononnya ektrimis] Islam. Berita itu pasti gempar dan mendapat liputan seluruh dunia.

Itulah sebabnya, mengapa di siaran di kaca tv kita cuma sibuk dengan kisah pengebumian MJ. Tidak ada satu pun berita pengebumian Syahidah Marwa Al-Sharbini yang mendapat gelaran “Pahlawan Jilbab”. "Oh, lupa pula Marwa Al-Sharbini bukanlah artis yang perlu diagung-agungkan" mungkin ada yang berfikir begitu? Tidak ada protes dunia Islam atas kematiannya. Tidak ada tangisan kaum muslimin untuk dirinya. Tapi tidak mengapa Marwa Al-Sharbini , kerana engkau akan mendapat tempat yang paling mulia di sisi ALLAH S.W.T. Seiring doa dari orang-orang yang mencintaimu. Selamat jalan saudariku, maafkan kami jika kurang peduli.