Masjid Kristal & Erti Ketamadunan Islam


Beberapa minggu yang lalu, di dada hadapan akhbar ini terpampang berita tentang sebuah Masjid Kristal yang akan di bina di suatu tempat di negara ini. Diberitakan bahawa masjid itu adalah sumbangan sebuah syarikat yang mempromosikan barangan dari kristal. Diberitakan juga masjid itu dianggarkan berharga RM 22 juta bagi menampung jumlah qariah seramai kira-kira120 orang.

Petikan di atas di ambil di web iluvIslam, oleh Prof Dr. Mohamad Tajudin.

Masjid untuk pelancongan?


Dalam ulasan beliau mengenai konsep Masjid Kristal sebagai salah satu bentuk tarikan baru di negeri Darul Iman, Prof. Dr Mohamad Tajudin telah mempersoalkan pembinaannya atas sebab pelancongan. Beliau menambah, adakah umat Islam bersedia untuk menerima pendekatan masjid sebagai tempat pelancongan yang memakan belanja jutaan ringgit dalam masa yg sama terdapat rakyat ‘kais pagi makan pagi, kais petang masih tak dapat-dapat lagi’ yang lebih memerlukan bantuan untuk keperluan seharian mereka.

Beliau juga menyatakan implikasi penerimaan pendekatan ‘Masjid Pelancongan’ ini yang mana tiada sapa kisah samada terdapat qariah yang optima atau tiada langsung kerana masjid tersebut sudah terkeluar dari peranan asalnya sebagai pusat pembangunan masyarakat dan kini dilihat semata-mata sabagai simbol kemewahan umat Islam.
Konsep Hakiki Ketamadunan

Prof. Dr. Mohamad Tajudin juga mengingatkan bahawa ketamadunan Islam bukan dinilai dari segi kemewahan kebendaan semata-mata tetapi ketamadunan yang pernah ditunjukkan pada zaman Rasullulah SAW iaitu “berdasarkan kepada keadaan manusia yang mempunyai nilai maruah kemanusiaan atau keinsanan yang tinggi serta daya pemikiran yang kritis”. Jika ingin menonjolkan sistem konstruksi mewah lagi yang unik diterima, seharusnya perlu bersikap berwaspada & berhati-hati tentang apa sebenarnya ‘sumbangan’ yang ditafsirkan oleh umat Islam sendiri dan juga interpretasi orang bukan Islam.

Beliau juga khuatir jika mesej sebenar tidak sampai dan ada tanggapan bahawa Islam mempunyai kegila-gilaan tentang objek kebendaan atau kata lainnya materialistik akan menjadi popular dalam masa terdekat ini. Rasulullah SAW pernah mengajar umat Islam tentang penjimatan hatta menjimatkan air wudhuk walaupun pada sungai yang mengalir. Islam merupakan agama yang paling praktikal sekali apabila Rasulullah s.a.w. meninggalkan warisan bahawa seluruh bumi sebagai hamparan asas untuk sembahyang. Sesuatu kaum yang tidak mempunyai tempat tinggal khusus (musafir) mampu mengkhususkan sebidang tanah dengan beberapa garisan sebagai batasan untuk dijadikan ia sesuci-sucinya masjid.

Sumbangan biar berpada

Beliau tidak menafikan malah memuji niat murni sebuah syarikat (syarikat pembiaya) pembinaan masjid sebagai suatu sumbangan masyarakat tetapi biarlah sumbangan tersebut berpada-pada dan memberi pulangan yang tinggi mengikut lunas-lunas sunnah.

Prof. Dr. berpendapat dari perspektif perniagaan pun lebih baik banyak orang mendapat manfaat dari segelintir sahaja agar ‘pengiklanan’ barangan tersebut akan menjadi lebih efektif dan memberi cadangan supaya keuntungan didermakan kepada tabung yayasan Islam bagi membantu anak-anak umat Islam yg tidak berupaya malah ada yg tidak mampu untuk membayar yuran SPM pun. Beliau menambah lagi pelaburan syarikat tersebut bukan hanya strategi pemasaran malahan mendapat timbunan pahala yang lebih berlipat ganda.

Di akhir kalam, beliau merasakan tidak ada salahnya jika ingin ‘menyumbang sambil mengiklan’ serta mencapai keadaan demi kebajikan kedua belah pihak.