Gincu, tumit tinggi haram di K. Bharu

Malaysiakini - Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan larangan terbaru kepada pekerja Islam, antaranya tidak memakai gincu dan kasut tumit tinggi yang tidak mengeluarkan bunyi.

Yang dipertuanya Shafie Ismail berkata arahan itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.

Katanya lagi, lapor Bernama, muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi.

Jika hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat daripada getah, katanya dalam pekeliling yang dikeluarkan kepada mereka yang bekerja mengendalikan semua premis dalam kawasan MPKB-BRI.

Etika berpakaian yang perlu dipatuhi termasuklah memakai tudung labuh, tidak jarang dan menutup dada; memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki.

Shafie berkata mereka yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan kompaun seperti peruntukan Undang-Undang Kecil MPKB-BRI 1986 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikompaun tidak lebih RM500.

Updated [24/Jun] - Bergincu dan berkasut tumit tinggi sehingga mengeluarkan bunyi tidak dilarang kepada pekerja Islam, jelas Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Etika berpakaian itu hanya sekadar nasihat yang tidak diperkuatkuasakan dalam peraturan di bandar itu, jelas pengarah perhubungan awamnya Azman Mohd Daham hari ini.

Berkait[go to]>Amdang81