Berpakaian tapi telanjang

Oleh: Kadir (Institut Al-Qayyim)


Sabda Nabi S.A.W. :

Maksudnya:

‘Dua golongan dari ahli neraka, yang belum pernah aku lihat mereka, (iaitulah) satu kaum yang memiliki pemukul, seperti ekor lembu, yang mereka gunakan untuk memukul orang dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambuk mereka bagaikan pundak unta, mereka tidak akan memasuki syurga, bahkan tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga dapat dicium dari jarak yang jauh.” (HR Muslim)

Kaum yang memiliki pemukul adalah golongan yang memukul manusia tanpa sebab yang dibenarkan oleh Syara'. Manakala perkataan kasiyaat ‘ariyaat (berpakaian tetapi bertelanjang) ditafsirkan oleh para ulama sebagai:

  1. Wanita yang menerima nikmat-nikmat daripada Allah tetapi tidak bersyukur. Dia tidak melakukan ketaatan kepada Allah dan tidak meninggalkan maksiat dan keburukan dalam keadaan dia menerima nikmat yang berupa harta dan selainnya.
  1. Hadith juga membawa maksud wanita-wanita yang berpakaian yang tidak menutup auratnya disebabkan nipis atau pendek pakaiannya, maka ia tidak memenuhi maksud berpakaian menutup aurat.
Manakala perkataan ma-ilaat (مائلات) pula membawa maksud - cenderong kepada maksiat dan perkara-perkara keji, dan mengurangkan kefardhuan seperti solat dan seumpamanya.

Mumilaat (مميلات) pula - menyeru orang lain kepada kejahatan dan kerosakan. Dengan perkataan dan perbuatan, mereka memalingkan orang lain kepada kejahatan dan maksiat.